Wednesday, May 9, 2012
Persoalan Sunnah
BEBERAPA orang berkunjung ke rumah saya pada suatu malam. Saya tertarik kepada mereka kerana kasih mereka kepada agama, minat mereka kepada isu-isu semasa dan pengetahuan mereka tentang sosio-agama begitu mendalam.Mereka bukan lepasan pondok atau madrasah, tetapi golongan profesional yang bijak pandai, peguam, doktor, jurutera, pegawai tadbir dan seorang daripadanya ahli perniagaan yang berjaya. Kunjungannya tidak dijemput, tetapi ziarah atas nama saudara sesama Islam. Waktu itu saya baru lepas sembahyang isyak.Tiba di penghujung perbualan, kira-kira hampir pukul 12 malam, ketika kami berjabat tangan hendak berpisah, salah seorang daripada mereka berkata dengan penuh hormat: “Saya ingin nasihat Datuk.”Nasihat! Saya buat-buat kehairanan. Silakan, agama itu sendiri adalah nasihat.Katanya: “Saya ingatkan diri saya dan diri kita semua supaya kita berpegang teguh kepada sunah rasul. Itu saja? Inilah yang pentingnya dalam hidup kita di dunia yang sementara ini.”Saya senyum saja. Tetapi kemudiannya tergambar dalam kepala saya hajat utama mereka mengunjungi rumah saya pada malam itu semata-mata bertujuan untuk mengajak saya supaya berpakaian dan berwatak dengan gaya seperti mereka, iaitu berjanggut, berjubah, berkupiah dan dalam poketnya ada kayu sugi.Saya yang dikenali mereka sebagai orang yang pernah belajar pondok, bekas murid sekolah Arab tahun 50-an dan kemudiannya memiliki ijazah dari Al-Azhar Mesir, tetapi hidup hariannya masih tidak selaras dengan sunah rasul, menurut pandangan mereka.Mereka yang tadinya sudah pun berada di pintu dan telahpun pakai selipar, masing-masing masuk semula ke ruang tamu atas permintaan saya untuk menyambung diskusi kami bagi sesi kedua.Ternyata mereka kasihan kepada saya yang pada anggapan mereka saya belum mengikut sunah. Saya juga simpati kepada mereka yang sayang kepada agama tetapi keliru dalam beragama. Perkara ini perlu diperbetulkan.Saya bertanya serius: Apakah saudara tahu erti sunah?Masing-masing berpaling antara satu sama lain, mengharapkan salah seorang daripada mereka dapat memberi jawapan.Saya bertanya begitu bukan kerana hendak mencabar mereka, tetapi kerana saya dapat menyelami maksud soalan itu. Antara lainnya mereka ingin mengajak saya supaya berkupiah, berserban, berjubah dan berjanggut seperti mereka.Dalam perbualan pada sesi pertama tadi ada di antara mereka yang berkata secara bergurau: Umur dah hampir 60-an masih tidak mahu simpan janggut lagi. Saya senyum saja.Mereka memuji pemimpin-pemimpin Pas sekarang ini yang rata-ratanya berjanggut dan berkupiah putih. Walaupun mereka bersamping melayu di majlis-majlis tertentu, tetapi di kepalanya kupiah putih, tidak songkok. Mereka bangga dengan murid-murid sekolah menengah agama kementerian pendidikan, katanya yang berkupiah putih semuanya.Katanya: Pemimpin-pemimpin UMNO yang masuk Pas dan sudah jadi pemimpin Pas semuanya sudah bertukar daripada songkok kepada kupiah. Hebat mereka.Mereka memuji Nik Aziz Nik Mat dan Hadi Awang yang tidak lekang dengan pakaian sunah rasul, tetapi tidak Fadzil Noor yang acap kali katanya ikat tali leher.Salah seorang daripada mereka berkata: Songsang nampaknya kalau Tok Guru bertali leher. Saya merasai semacam mereka menyindir saya.Saya terus memotong. Penjenayah-penjenayah yang dibawa ke mahkamah, perogol dan perompak pun akhir-akhir ini nampaknya berkupiah putih belaka. Hari-hari gambar mereka terpapar di dada akhbar.Tetapi pakaian seumpama itu adalah pakaian orang bertakwa, mencelah salah seorang daripada mereka.Apakah takwanya sekira pakaian seumpama itu dijadikan tiket untuk menutup jenayahnya?Saya menjelaskan bahawa orang beriman dan bertakwa tidak menggunakan pakaian sebagai wahana untuk menonjol kononnya dia lebih bertakwa daripada orang lain. Jika ada orang yang suka memperagakan pakaiannya, kemudian mendakwa pakaiannya itu adalah pakaian takwa bagi maksud untuk mencari keuntungan dan habuan keduniaan, sudah pasti orang yang berkenaan belum sampai kepada darjat orang bertakwa.Saya hormati orang berkupiah putih. Tetapi jika dalam majlis-majlis rasmi, biarlah lengkap dan sempurna dengan jubah dan sebagainya. Pakaiannya pula biarlah menjadi identiti diri. Jangan pula ketika jumpa orang kampung berkupiah lengkap, tetapi ketika berunding dengan menteri berpakaian cara Barat.Beberapa kali juga saya ulang pertanyaan apa erti sunah. Lama kemudian seorang daripadanya dengan ketar bibir menjawab: Semua kata-kata, semua perbuatan dan semua pengakuan daripada Rasulullah adalah semuanya sunah.Betul. Tapi apakah semua sunah itu wajib diikuti dan wajib dipatuhi. Jika tidak patuh, adakah berdosa?Ya! Mesti. Kerana itu sunah.Ertinya semua kata-kata dan semua perbuatan Rasul wajib diikut?Memang begitu. Jika tidak, berdosa dan neraka.Maaf! Jika demikianlah fahaman saudara tentang maksud sunah, maka saudara adalah ahli neraka.Mereka terkejut dengan kata-kata tegas saya itu. Suasana diam seketika. Saya kemudiannya memecahkan keadaan itu bagi tujuan penjelasan.Saudara tentu sudah kahwin. Apakah saudara kahwin dengan janda? Tentu sekali tidak. Saya tidak berfikir orang seperti saudara ini berkahwin dengan janda. Tetapi perkahwinan pertama Rasulullah adalah dengan isterinya Khadijah binti Khuwailid, seorang janda yang sudah berumur 40 tahun. Sedangkan baginda pada waktu itu baru berada di ambang 25 tahun.Jika semua perbuatan Rasulullah mesti diikuti maka semua lelaki hari ini berdosa, kerana mereka tidak kahwin janda dan janda itu pula mesti dua kali janda. Bagaimana mahu mendapatkan janda seumpama itu, kerana perempuan itu hanya menjadi janda apabila sudah bercerai dengan suaminya.Dalam sesi kedua ini saya terpaksa memberi penjelasan panjang tentang pengertian sunah dan pembahagiannya menurut ilmu hadis sehingga mereka dapat faham bahawa segala perbuatan Rasulullah berhubung dengan hal-hal peribadi dan perkara-perkara berhubung dengan budaya dan adat kebiasaan (urf) masyarakat setempat pada waktu-waktu tertentu tidaklah wajib diikut.Kita tidak wajib tanya dan selidik bagaimana pergaulan Rasulullah dengan isteri-isterinya, cara baginda makan sama ada dengan menggunakan lima jari atau tiga jari, cara baginda berpakaian dan sebagainya. Baginda adalah manusia biasa yang memerlukan kahwin, makan minum dan lain-lain keperluan yang dihajati oleh fitrah manusia.Saya menghormati orang berjanggut, berserban dan berjubah yang ikhlas dengan pakaiannya, tetapi tidak wajar menuduh orang lain yang tidak berpakaian sepertinya sebagai antisunah.Saudara-saudara terus-menerus membersihkan mulut dan gigi dengan kayu sugi, teruskanlah. Tetapi saya lebih selesa membersihkan gigi saya dengan berus gigi dan Colgate. Apakah saya dianggap menentang sunah?Saudara-saudara bangsa Melayu, tetapi berpakaian seperti penduduk di padang pasir, tidak ada salahnya. Tetapi saya amat selesa dengan pakaian yang lazim dipakai oleh orang Melayu. Apakah saya akan dituduh sebagai memusuhi sunah?Perkara penting dalam berpakaian ialah selesa dan indah dipandang dengan mengambil kira cuaca dan udara setempat serta juga sempadan aurat yang telah ditentukan.Islam menghendaki umatnya kuat dan kelihatan kuat, segak dan tampan, bersih dan suci, tidak lemah, moyok dan selekeh, tidak kotor dan jijik.Segala pakaian dan perhiasan biarlah menampakkan ciri-ciri yang dimaksudkan. Itulah sunah rasul yang sebenar.Oleh Dato’ Dusuki Haji Ahmad ialah Pengerusi Amanah Raya Berhad
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment