Sunday, May 6, 2012

MEMAHAMI HUKUM ISLAM YANG SEMPURNA

Seorang yang penonjolannya kelihatan alim, berkopiah dan berserban, dipadankan dengan baju Melayu dan bersarung berbicara di hadapan beberapa orang yang mengelilinginya. Hebat sekali dan dapat menarik perhatian kerana kepetahannya berkata-kata dan kefasihannya menyebut ayat-ayat al-Quran dan hadis.Dalam bicaranya itu beliau membuat ulasan tentang sebuah risalah terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia yang menjelaskan bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam dan undang-undang Islam di Malaysia hari ini sudah pun berjalan dengan baik dan sempurna dalam banyak bidang kehidupan rakyat. Hanya dalam beberapa perkara saja yang belum dapat dilaksanakan kerana faktor kemampuan dan keadaan semasa.Risalah yang berada di tangannya itu dicampak ke atas meja di hadapannya dan ditepuk beberapa kali kerana dikatakan penyebar ajaran salah yang menyesatkan. Air mukanya menampakkan kebencian dan kemarahan yang keterlaluan terhadap risalah itu dan penulisnya disifat sebagai jahil dan bodoh tentang hukum Islam dan siasah syariah.Seorang yang berada di sebelahnya menimbulkan provokasi Malaysia ini negara aman damai, tidak ada sengketa dan perang. Rakyatnya pula ceria dan gembira, tidak ada kebuluran dan kelaparan.Terus saja dia menjawab dengan marah, “Negara Islam jenis apa jika tidak menjalankan undang-undang Islam. Akibatnya segala jenis maksiat bertaburan. Kemudian terus saja dia membaca ayat al-Quran (al-Baqarah 86) yang membawa maksud Apakah kamu beriman kepada sebahagian daripada kitab dan ingkar sebahagian yang lain. Dia juga membaca ayat (al-Baqarah 208) yang membawa erti Hai orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam agama Islam secara menyeluruh dan jangan kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu.Saya telah dimaklumkan perkara ini. Pembicara pada hari itu, katanya, ialah seorang ustaz yang sedang berkhidmat di sebuah sekolah agama rakyat di daerah Pasir Mas. Kelulusan sekolah pondok di daerah yang sama.Amat aneh sekali bagi mereka yang berkata bahawa Islam itu ad-din yang mencakupi segala-galanya, tetapi pada waktu yang sama dia mengkhususkan bahawa apa yang dikatakan undang-undang itu hanya terbatas kepada jenayah hudud semata-mata. Mana-mana negara Islam yang tidak melaksanakan hudud, maka negara yang berkenaan tidak layak dikenali sebagai negara Islam.Mereka ini tidak mendapat hidayah untuk memahami bahawa apa yang dikatakan undang-undang Islam itu termasuk juga semua peraturan yang dicipta dan dihasilkan oleh pemerintah bagi maksud menjaga keamanan negara dan menjamin keharmonian rakyat sesama mereka, sama ada yang berhubung dengan urusan politik, ekonomi, pelajaran, sosial dan sebagainya.Di Malaysia ini telah pun dilaksanakan undang-undang yang selaras dengan tuntutan Islam berasaskan kepada kepentingan dan maslahah semasa. Adanya perkara-perkara maksiat dalam masyarakat, hal ini adalah kenyataan yang tidak dapat dielakkan. Negara yang diduduki oleh seramai 23 juta rakyat yang hidup di zaman dunia terbuka hari ini tidak mungkin mencapai kesempurnaan sepenuhnya. Tidak ada suatu zaman dalam sejarah dunia, hatta di zaman Nabi sekalipun diselimuti oleh kesempurnaan semuanya. Masih wujud perkara-perkara maksiat pada waktu itu. Masih banyak perkara baik yang tidak dapat dilaksanakan. Apakah disebabkan oleh ada yang belum dapat dilaksanakan itu maka undang-undang yang telah ada hendak dibatalkan semuanya?Jika ini dipersetujui maka sudah tentu negara ini akan menjadi sebuah negara yang tidak berperaturan dan tiada undang-undang. Jika demikian terjadi maka huru-hara dan porak-perandalah jawabnya, kerana manusia tidak dapat hidup tanpa peraturan dan undang-undang. Islam bukan sebuah agama yang mendorong kepada huru-hara dan porak-peranda.Undang-undang Islam adalah peraturan Allah yang lengkap dan sempurna yang meliputi semua bidang pentadbiran hal ehwal keduniaan. Ia mencakupi hal-hal peribadi, kekeluargaan, kejiranan, kemasyarakatan, keselamatan dalam negeri dan perhubungan antarabangsa.Undang-undang Islam juga mencakupi soal-soal ketenteraan, kepolisan, pelajaran, kesihatan, kebajikan dan lain-lain.Tidak ada sesiapa yang menafikan bahawa segala usaha dan pelaksanaan kerajaan dalam bidang-bidang tersebut dikatakan bercanggah dan tidak selaras dengan peraturan Islam. Cuma yang sering menjadi perbincangan ialah tidak ada undang-undang yang merejam sampai mati pasangan yang melakukan zina, potong tangan kepada pencuri, membunuh murtad dan lain-lain yang diistilahkan sebagai jenayah syarak, sehingga dikatakan negara Malaysia ini tidak Islam kerana tidak melaksanakan undang-undang jenayah tersebut.Tugas kerajaan sebagai pemerintah adalah menjaga agama (hirasatud-din) dan mentadbir urusan manusia (siasah umurun-nas). Menjaga agama agak mudah kerana hukum-hukum dan pelaksanaannya telah pun jelas diterangkan secara terperinci. Tetapi pentadbiran urusan manusia adalah tertakluk kepada kepentingan dan maslahah yang berubah menurut perubahan masa dan tempat. Yang pentingnya negara beroleh kebaikan dan jauh daripada keburukan. Rakyat pula dapat menikmati keamanan dan segala pintu yang boleh membawa kepada kerosakan dan kemusnahan dapat dibanteras dan dihapuskan semampu yang mungkin.Kerja-kerja dan tugas seumpama inilah yang dikatakan siasah syariah, sekalipun ia tidak ditetapkan oleh Rasulullah dan tidak terdapat dalam wahyu yang diturunkan Allah kepada baginda. Misalnya apabila pemerintah menentukan undang-undang yang berkaitan dengan jalan raya sekalipun, seluruh rakyat wajib di sisi syarak mematuhi segala peraturan yang berkenaan.Hukum-hukum Islam walaupun tidak ada konsep terima separuh dan tolak separuh, tetapi hal-hal berhubung dengan keduniaan mempunyai kaedah-kaedah tertentu. Antaranya sesuatu yang tidak dapat dilakukan semuanya tidak boleh ditinggalkan semuanya.Saya masih ingat kepada suatu forum tentang undang-undang Islam yang diadakan di sebuah universiti tanah air sekitar akhir tahun 70-an. Saya pada waktu itu sebagai Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia adalah antara tiga ahli panel yang mengambil bahagian. Dua ahli panel yang lain masing-masing dapat dikenali sebagai penyokong Pas dan UMNO.Saya telah menyatakan pendapat saya bahawa di Malaysia ini undang-undang Islam sudah dilaksanakan melebihi 90 peratus. Pendapat ini disanggah dan ditentang keras oleh ahli panel kedua dengan menyatakan bahawa tidak ada konsep terima separuh dan tolak separuh dalam pentadbiran Islam. Beliau menghujah dengan ayat 85 dan 208 daripada surah al-Baqarah.Ahli panel ketiga pula menimbulkan persoalan apakah mampu manusia dalam hidup ini melakukan semua perkara baik-baik saja tanpa ada cacat celanya? Jika tidak, maka apakah kerja-kerja baik yang mereka lakukan itu dianggap buruk dan keji semuanya kerana ada satu dua perkara yang tidak baik?Apakah disebabkan di Malaysia ini kerajaan tidak dapat melaksanakan undang-undang hudud Islam secara qate maka undang-undang lain mesti dimansuhkan semuanya?Jika jawapannya ya maka negara sudah tidak berperaturan lagi. Apa akan jadi sekiranya besok berlaku rompakan secara besar-besaran, penculikan secara sewenang-wenang, pembunuhan yang tidak berperikemanusiaan dan sebagainya. Kepada siapa hendak dibuat aduan? Waktu itu sudah tidak ada polis dan tentera yang menjaga keamanan kerana undang-undang sudah dibubarkan.Saya kemudiannya membuat huraian panjang tentang ketidakterlaksananya undang-undang jenayah hudud yang dimaksudkan, kerana ia bergantung kepada keadaan, suasana dan kemampuan yang ada. Hukum Allah tetap hukum. Tetapi pelaksanaannya mesti dipastikan dapat menjamin penegakan keadilan.Bukan bermaksud menafikan keadilan hukum Allah, tetapi ia bergantung kepada kemampuan masyarakat semasa. Selama pelaksanaannya boleh mendorong kepada kezaliman, atau menimbulkan huru-hara, atau tidak mencapai kepada matlamat untuk memperbaiki masyarakat, atau masyarakat tidak berjaya mencegah faktor-faktor yang membawa kepada perlakuan jenayah, atau perlakuan jenayah itu diselubungi oleh keraguan (syubahat), maka hukum itu wajib digugurkan atau dikenakan hukuman lain.Ulama fikah sejak dahulu lagi bersepakat bahawa matlamat syarak (maqasid syariah) yang penting ialah sesuatu hukum itu tidak boleh dilaksanakan jika ia boleh membawa kepada kezaliman. Bahkan pelaksanaan yang diyakini menimbulkan kezaliman itu adalah tidak selaras dengan syarak. Antara hukum yang boleh meSmbawa kezaliman itu apabila ia bercanggah dengan kenyataan yang nyata.Antara kenyataan yang dimaksudkan di negara ini, rakyatnya terdiri daripada berbagai-bagai keturunan, kepercayaan dan budaya. Umat Islam, Melayu dan bumiputera mundur dalam serba bidang. Mereka pula tidak mempunyai perpaduan yang kukuh. Khuatir nanti yang dikejar tidak dapat yang dikilas pula keciciran.Rakyat daripada bukan beragama Islam juga mempunyai hak menentukan pemerintah negara ini. Ayat al-Quran yang dibacakan oleh ahli panel kedua tadi (al-Baqarah 85 dan 208) bukanlah berhubung dengan soal peraturan dan undang-undang (syariah), tetapi berkaitan dengan iman dan takwa (akidah). Maksudnya seorang Islam yang mendakwa beriman dan bertauhid kepada Allah, tetapi pada masa yang sama dia juga percaya kepada agama lain atas anggapan semua agama adalah benar, sikap seumpama ini adalah salah dan batil. Bahkan boleh membawa kepada syirik dan kufur.

OLEH DUSUKI AHMAD

No comments:

Post a Comment