Friday, February 22, 2013

Jom Pakat Gi

Pemuda Barisan Nasional (BN) meneruskan penganjuran BN Youth Job Fair 2013 di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu, pada 22 dan 23 Februari ini.
Pengerusi karnival, Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, lebih daripada 20,000 pencari kerja dijangka mengunjungi karnival tersebut yang disertai oleh 80 syarikat, agensi kerajaan dan pusat latihan.
Menurutnya, antara yang terlibat ialah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Kementerian Kewangan dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) serta beberapa syarikat seperti UMW Holdings Berhad, Celcom Axiata berhad, MY.E.G. Services Berhad, Bernas Malaysia, REDtone dan Bank Islam.
“Selain mencari peluang pekerjaan, belia boleh mendapatkan maklumat untuk menyertai program-program latihan ataupun mendapatkan khidmat nasihat, bimbingan keusahawanan serta kemudahan pinjaman bagi yang berminat untuk membuka perniagaan sendiri.
“Kami menganggarkan sambutan belia menggalakkan kerana penyertaan syarikat-syarikat gergasi Malaysia dalam karnival ini yang diadakan bersempena program Karnival Janji Ditepati,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka melancarkan karnival tersebut, Sabtu ini.
Nazir berkata, karnival bermula jam 10 pagi hingga 6 petang itu akan melibatkan pelbagai program menarik untuk memastikan ia mencapai matlamat untuk manfaat belia, agensi dan syarikat yang menyertainya.
“Kami yakin belia akan mendapat manfaat melalui maklumat dan pengetahuan berkenaan inisiatif-inisiatif kerajaan yang sentiasa membantu golongan ini melalui agensi-agensi kerajaan yang turut serta dalam karnival ini.
“Program ini bukan berteraskan politik, tetapi sebagai rasa tanggungjawab untuk memastikan golongan belia mendapat peluang untuk berjaya dalam apa pun bidang yang mereka mahu,” katanya.
Untuk mendapatkan maklumat penyertaan dan pekerjaan-pekerjaan yang ditawarkan, sila layari www.bnyouthjobfair.my
-sinar harian

No comments:

Post a Comment