Thursday, February 28, 2013

Saya Pilih BN


ASLI Ramal BN Terus Berkuasa

Pilihan Raya Ke-13 (PRU 13) yang akan berlangsung bila-bila masa dari sekarang adalah yang paling sengit dalam sejarah dengan kebanyakan kawasan DUN dan Parlimen yang dipertandingkan akan menyaksikan pertembungan dua penjuru antara Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Rakyat (PR).

Namun demikian, rata-rata kajian dan analisis oleh pelbagai pihak yang disokong oleh senario semasa jelas menunjukkan BN akan kekal berkuasa di samping menawan semula beberapa negeri yang sebelumnya jatuh ke tangan PR.

Terbaru, badan pemikir bukan kerajaan, Asian Strategy and Leadership Institute (ASLI) turut meramalkan PRU 13 akan menyaksikan BN kembali menerajui Kerajaan Pusat berikutan kembalinya sokongan kuat majoriti pengundi Melayu Islam ke pangkuan BN.

Hasil kedapatan dari kajian ASLI itu hampir sama dengan laporan kajian oleh Economist Intelligence Unit (EIU), badan pemikir terkenal di London yang baru-baru ini turut meramalkan BN akan muncul sebagai juara dalam PRU 13.

Dalam pada itu, ASLI melalui laporan analisisnya menjangkakan sekurang-kurangnya 123 hingga 135 kerusi Parlimen sudah pasti menjadi milik BN, manakala Kedah dan Selangor juga akan turut dikuasai BN.

Jika kena gaya percaturannya, angka tersebut akan melonjak mencecah 150 kerusi Parlimen bergantung pada keupayaan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak memikat lebih ramai pengundi India di samping mengembalikan kepercayaan sebahagian besar pengundi Cina yang berada atas pagar untuk mengundi BN.

Di Sarawak juga ASLI menjangkakan parti komponen utama BN Negeri iaitu PBB yang menjadi tonggak Kerajaan Negeri akan meneruskan tradisi menang di semua kerusi yang dipertandingkan, sementara di Sabah pula BN akan terus menjadi Kerajaan Negeri.

Menurut badan pemikir itu lagi senario di Kelantan dan Pulau Pinang masih memihak kepada PR, bagaimana pun Pulau Pinang berkemungkinan masih berpeluang dikuasai BN seandainya UMNO berupaya meraih sokongan mantap dari pengundi Melayu Islam.

Kecuali Kelantan, hampir semua yang dijangkakan oleh ASLI ada banyak persamaan dengan kajian intensif terkini yang dilakukan oleh BN di semua peringkat cuma sedikit sebanyak ada perbezaan dari segi jumlah kerusi yang bakal dimenangi BN di peringkat Parlimen.

Berdasarkan kajian intensif  BN itu, pada PRU 13 nanti BN dijangkakan menang di 160 kerusi Parlimen manakala di Kelantan akan menyaksikan peralihan Kerajaan Negeri dengan jangkaan minima 25 kerusi DUN pasti milik UMNO, manakala PAS pula hanya selesa di 17 kerusi yang lain. Baki 3 kerusi DUN lagi bergantung pada strategi saat akhir kedua-dua pihak.

Pastinya semua kenyataan ini agak pahit untuk diterima PR, namun tidaklah sepahit mana jika mereka menyedari kejayaan PR dalam PRU 12 2008 dulu hakikatnya adalah hasil sumbangan undi protes oleh sejumlah besar pengundi-pengundi BN.

Walau apa pun, para pemimpin BN dan jenteranya tetap tidak boleh mengambil mudah dengan trend semasa yang semakin memihak kepada BN sekarang. Senario boleh berubah sekiranya sesaat sahaja BN terleka, justeru itu terus gandakan usaha supaya matlamat kemenangan dua pertiga dapat direalisasikan.

Tuesday, February 26, 2013

Siapa Tanggung BALA?????


Siapa Tanggung Bala Sepanjang 5 Tahun Menghilang?

Selepas lebih kurang 5 tahun penyiasat persendirian Balasubramaniam Perumal (PI Bala) menghilangkan diri bersembunyi di India, Ahad lepas bersamaan 24 Februari 2013, akhirnya PI Bala muncul di KLIA dengan sambutan hangat oleh kira-kira 50 penyokong PKR.

Sambutan yang diberikan oleh PKR terhadap PI Bala itu mengesahkan lagi wujudnya peranan parti itu dalam merencanakan komplot jahat mereka memanipulasi dan mensensasikan kes pembunuhan model Mongolia, Altantuya untuk dikaitkan dengan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak.

Lagi pun bila mana perkara pertama yang dilakukan PI bala ialah bersumpah bersaksikan kitab Hindu Bhagavad Gita bahawa Akuan Bersumpah (SD) pertama yang mengaitkan Najib dalam pembunuhan Altantuya kononnya adalah benar, manakala SD 2 pula dilakukan secara terpaksa, tambah jelas lagi peranan PKR dalam kes ini.

Sepatutnya jika PI Bala berhasrat menafikan pula SD2, bukankah lebih elok dilakukan pula SD ketiga. Alang-alang sudah berkali-kali buat akuan bersumpah yang saling bercanggah, elok juga buat sampai SD10, tak gitu?

Menarik untuk dilihat apa reaksi penerimaan orang Melayu Islam dalam PKR dengan sumpah PI Bala dengan kitab Hindu Bhagavad Gita itu, mungkin mereka teruja barangkali memandangkan Ketua Umum PKR sendiri sampai sekarang tak meyakini kebenaran sumpah laknat yang bersaksikan Allah s.w.t.

Semasa di temu bual oleh pihak media di KLIA itu juga PI Bala telah mengumumkan kesediaannya untuk membantu kempen Pakatan Rakyat (PR) dengan menjelajah ke seluruh negara konon bagi membongkar kebenaran di sebalik peristiwa tragis pembunuhan Altantuya Shariibuu.

Ia tidak pun mengejutkan khalayak, kerana umum tahu SD1 yang diikrarkan oleh PI Bala mempunyai kaitan rapat dengan pemimpin-pemimpin utama PKR yang sedari awal lagi mengharapkan manipulasi dan spekulasi mengenai kes pembunuhan Altantuya akan memalapkan sinar politik Najib.

Usaha PR gagal selepas SD2 oleh PI Bala menafikan pembabitan Najib, tambahan pula Raja Petra Kamaruddin yang pernah merekayasa fiksyen kisah Altantuya dengan memanipulasi kehebatan imaginasinya juga telah mengakui PM mahupun isterinya langsung tiada sangkut paut dalam kes tersebut.

Sebaliknya umum didedahkan pula dengan peranan Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim yang pernah terlibat berusaha memujuk suspek pembunuhan, Azilah dan Sirul supaya sengaja membabitkan nama Najib dalam kes sensasi itu.

Sebetulnya apa sahaja gerak geri PI Bala selepas ini ia tidak membantu pun PR dalam usaha mereka untuk memporak-perandakan kepercayaan rakyat kepada PM, kerana keraguan umum terhadap kredibiliti penyiasat persendirian yang pernah diupah oleh Razak Baginda teramat besar sekali.

Khalayak sebenarnya lebih tertarik untuk mengetahui kenapa PI Bala sanggup menggelapkan wang RM50,000 yang diamanahkan oleh Razak Baginda yang sepatutnya diberikan kepada Altantuya dan jika PI Bala tidak bermaksud menyonglapnya, sekurang-kurangnya khalayak umum ingin tahu di mana wang itu sekarang.

Paling penting khalayak ingin tahu siapakah dalang utama yang menaja, menanggung dan menampung segala kos kehidupan PI Bala di luar negara sejak lebih kurang 5 tahun lalu?

Tidak sedikit kos tanggungan tersebut, dari hal upah tutup mulut, kos perumahan, makan minum dan kenderaan serta kos harian lain, jumlahnya besar, setakat RM50,000 yang disonglap oleh PI Bala dari Razak Baginda tentunya tidak mencukupi.

Tentu sahaja penajanya dari kalangan pemimpin utama PKR, kerana parti ini juga sebelum ini menaja kehidupan kekasih gelap Elizabeth Wong iaitu Helmi Malik di Indonesia dalam usaha mereka ‘menyejuk bekukan’ kisah hubungan sulit kedua-dua mereka dari terus menjadi perhatian umum.

Persoalannya siapa nama pemimpin itu dan dari manakah sumber kewangan yang diperolehnya?

Sunday, February 24, 2013

Tak habis-habis dengan FITNAH!!!!!


Sudah-sudah la buat kenyataan yang karut lagi mengarut tu. Kalau tak sahih jangan lah sebar ke seluruh pelosok dunia. Kan dah malu besar. Patut mohon maaf secara peribadi lah bro. Setakat tarik balik buat apa. Dah tersebar dah kot. Pakar putar belit betul.

Friday, February 22, 2013

Jom Pakat Gi

Pemuda Barisan Nasional (BN) meneruskan penganjuran BN Youth Job Fair 2013 di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu, pada 22 dan 23 Februari ini.
Pengerusi karnival, Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, lebih daripada 20,000 pencari kerja dijangka mengunjungi karnival tersebut yang disertai oleh 80 syarikat, agensi kerajaan dan pusat latihan.
Menurutnya, antara yang terlibat ialah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Kementerian Kewangan dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) serta beberapa syarikat seperti UMW Holdings Berhad, Celcom Axiata berhad, MY.E.G. Services Berhad, Bernas Malaysia, REDtone dan Bank Islam.
“Selain mencari peluang pekerjaan, belia boleh mendapatkan maklumat untuk menyertai program-program latihan ataupun mendapatkan khidmat nasihat, bimbingan keusahawanan serta kemudahan pinjaman bagi yang berminat untuk membuka perniagaan sendiri.
“Kami menganggarkan sambutan belia menggalakkan kerana penyertaan syarikat-syarikat gergasi Malaysia dalam karnival ini yang diadakan bersempena program Karnival Janji Ditepati,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka melancarkan karnival tersebut, Sabtu ini.
Nazir berkata, karnival bermula jam 10 pagi hingga 6 petang itu akan melibatkan pelbagai program menarik untuk memastikan ia mencapai matlamat untuk manfaat belia, agensi dan syarikat yang menyertainya.
“Kami yakin belia akan mendapat manfaat melalui maklumat dan pengetahuan berkenaan inisiatif-inisiatif kerajaan yang sentiasa membantu golongan ini melalui agensi-agensi kerajaan yang turut serta dalam karnival ini.
“Program ini bukan berteraskan politik, tetapi sebagai rasa tanggungjawab untuk memastikan golongan belia mendapat peluang untuk berjaya dalam apa pun bidang yang mereka mahu,” katanya.
Untuk mendapatkan maklumat penyertaan dan pekerjaan-pekerjaan yang ditawarkan, sila layari www.bnyouthjobfair.my
-sinar harian

Thursday, February 21, 2013

Sampai Hati Kata Gitu


Penyokong PAS Terima BR1M Lebih Hina Dari Lembu Dan Ayam – Nik Aziz

Mengucap panjang kita mendengar ucapan Nik Aziz setibanya di Kota Bharu setelah menunaikan umrah di Mekah.   Ucapan Nik Aziz bukannya mengajak kepada perpaduan atau ke arah perdamaian tetapi berunsur celaan, sehingga tergamak menyamakan penerima BR1M dengan haiwan. 

Kata Nik Aziz, di hadapan penyokong yang menyambutnya pulang di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV,  “Orang yang menawarkan wang kepada orang, sama seperti kalau kita panggil ayam nak suruh ayam datang dekat, kita tabur hampas kelapa, tabur padi.  Kalau nak panggil lembu kita bubuh jerami.  Tapi kalau nak beri Islam, kita nak panggil ayam cakap nak ceramah, mana ayam datang, nak panggil lembu mana datang, jadi kalau kit aberi barang kepda orang, beri RM10, RM50 orang akan ambil.”

Hina sekali pandangan Tok Guru terhadap rakyat yang menerima BR1M sedangkan ramai dari penyokong-penyokong Tok Guru sendiri turut menerimanya dengan bangga.  Tidak cukup dengan itu, mereka mendabik dada pula kononnya itu hak mereka, sebagai rakyat dan duit yang diterima itu adalah duit rakyat. 

Entah dari mana datangnya alasan bahawa duit itu adalah hak mereka.   Apakah semua kerajaan di dunia ini memberi BR1M?  Tentulah tidak, kerana bukan tanggungjawab mana-mana kerajaan untuk  berbuat demikian. 

Sudah menjadi hukum alam, dan sudah termaktub dalam ajaran Islam, bahawa manusia perlu bekerja untuk mendapatkan wang.  Tiada siapa yang layak menerima apa-apa tanpa berusaha melainkan mereka sememangnya tidak punya kemampuan untuk berbuat demikian atas sebab-sebab tertentu seperti kesihatan, kecacatan dan sebagainya.   

Tugas kerajaan adalah untuk mentadbir, menjana pendapatan, membawa pelaburan, mewujudkan peluang pekerjaan, menyediakan kemudahan awam, memastikan rakyat mendapat pendidikan, memelihara kedaulatan negara serta memastikan keamanan.  

Menyediakan wang tunai ‘percuma’ kepada rakyat bukanlah tugas kerajaan. 

Tugas setiap seorang dari rakyat pula adalah untuk bekerja bagi menyara diri dan keluarga serta membayar cukai kepada kerajaan supaya kerajaan dapat terus menyediakan perkhidmatan dan kemudahan yang diperlukan oleh rakyat.  

Sudah menjadi lumrah dunia, ada rakyat yang berpelajaran tinggi dan ada yang tidak.  Ada yang miskin dan ada yang kaya.  Ada yang dulu susah, tetapi sekarang senang setelah kerajaan membawa masuk pelaburan dan mereka dapat bekerja di kilang-kilang.   Ada yang dulu hidup atas peruntukan rakyat termiskin, kini tinggal di rumah dua teres dua tingkat setelah anak-anak mereka menjadi orang berjaya berkat pembelajaran percuma di peringkat rendah dan menengah dan kemudiannya mendapat biasiswa pula untuk ke universiti.    Adajuga  yang dulu senang tetapi sekarang susah dan menganggur akibat membazirkan masa dan wang ibu bapa ketika di universiti kerana sibuk berdemonstrasi. 

Oleh itu, ada rakyat yang membayar cukai kepada kerajaan dan ramai lagi yang tidak. 

Kerana itu, kerajaan BN yang prihatin, telah mengambil kira keadaan hidup rakyat yang berbagai ini dan memutuskan untuk membantu mereka yang memerlukan, melalui BR1M.   Kerajaan boleh saja menggunakan peruntukan BR1M sejumlah RM3 billion itu untuk tujuan lain, tetapi dikhuatiri ia tidak akan dapat dirasai secara langsung oleh golongan yang benar-benar memerlukan.   Hanya dengan pemberian tunai sahaja yang dapat memastikan ia mencapai objektif secara tepat kerana dengan wang tunai, rakyat boleh memutuskan sendiri cara untuk membelanjakannya. 

Sudah tentu sekali BR1M tidak akan dapat diberikan jika kerajaan tidak mampu.   Jika kerajaan sekadar bergantung kepada cukai yang dikutip dari segolongan rakyat yang layak membayar cukai sahaja, tentulah kerajaan tidak akan mampu memberi BR1M kepada golongan yang tidak layak membayar cukai itu. 

Justeru, kemampuan kerajaan memberi BR1M kepada rakyat dengan sendirinya membuktikan  kecekapan pentadbiran Barisan Nasional dalam menjana pendapatan serta mengurus kewangan negara. 

Malangnya, Tok Guru melihat BR1M sebagai umpan atau rasuah untuk memancing undi serta menghina pula rakyat yang menerimanya.   Lebih malang lagi kerana antara yang menerima BR1M itu adalah penyokong-penyokong Tok Guru sendiri. 

Kerana itu, kita ingin bertanya Tok Guru, jika penerima BR1M adalah umpama lembu dan ayam, maka penyokong Tok Guru yang saban hari mengutuk BN tetapi tetap menadah tangan melahap BR1M, umpama apa pula? 

Fikirkanlah sendiri, binatang apa yang lebih hina dari lembu dan ayam….

Najib atau Anwar??





Kajian UPM: Najib Lebih Layak Dari Anwar

Bila-bila masa sahaja dari sekarang Dewan Rakyat akan dibubarkan untuk memberi laluan kepada PRU 13 yang dijangkakan oleh ramai pemerhati politik sebagai pilihanraya yang paling sengit dalam sejarah negara.

Dari segi rekod PRU 12 2008, memang benarlah PRU 13 ini cukup hangat dan sengit kerana ia merupakan penentu samada BN akan meneruskan kesinambungan pemerintahan ataupun gabungan longgar parti pembangkang, PR pula yang akan mengambil alih terajunya.

Namun jika perkembangan semasa diambil kira, besar kemungkinan PRU 13 akan menyaksikan BN mengulangi kejayaan yang hampir sama seperti yang dicapai pada PRU 11 2004 sebaliknya PR pula bakal berdepan nasib buruk seperti dialami Barisan Alternatif (BA).

Tambahan pula, sejak pentadbiran negara diambil oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak pada April 2009, sedikit demi sedikit BN telah kembali ke landasannya semula. Manakala dalam tempoh itu pula populariti PR semakin merosot terutama sekali selepas kegagalan projek lompat 16 September 2008.

Bermula awal tahun 2010 hinggalah sekarang menyaksikan hasil dari kepimpinan Dato' Seri Najib, BN terus memacu momentum kebangkitan sebagaimana terbukti dalam beberapa siri pilihanraya kecil yang lalu.

Malah dari segi populariti diantara Dato' Seri Najib dengan pemimpin PR khususnya Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim memang jauh langit dengan bumi, ini termasuklah data-data hasil dari kajian-kajian semasa yang dilaksanakan oleh pelbagai pihak.

Demikian halnya kedapatan yang diperolehi dari kajian terbaru yang dilakukan di UPM yang mana Presiden UMNO itu terus unggul di hadapan dengan merekodkan populariti 67.4% sekaligus menjadi pilihan utama sebagai PM selepas PRU 13 kelak.

Manakala Anwar pula berada di tempat kedua dengan catatan 52.2% dan Presiden PAS, Hadi Awang hanya mencatat populariti 31.3% sahaja. Dengan kata lain, responden yang ditemubual agak meragui kedua-duanya dalam menggalas tanggungjawab sebagai PM.

Jika dikira pula dari segi rekod jasa bakti kedua-dua pemimpin utama PR itu yang hanya tahu berceramah siang dan malam menjelajah sana sini, lagilah tak termampu menandingi rekod kerjabuat Najib yang sudah terbukti besar jasanya dalam membantu rakyat jelata.

Apatah lagi bila diukur dari segi kesungguhan dan sikap cakna Najib dan BN yang serius membantu menyelesaikan permasalahan rakyat, jauh bezanya bila dibanding dengan Anwar dan Hadi yang hanya bijak berkata-kata ketika menabur janji tapi kerap gagal dalam menepatinya.

Apapun, yang pentingnya dalam mana-mana sahaja kajian yang dilakukan samada oleh pihak bebas, pro BN mahupun oleh PR sendiri, satu kesimpulan yang sama diperolehi - BN akan meneruskan kesinambungan pemerintahan negara ini.